Saturday 14 January 2012

Bull dan Bear


Sebagai pelabur, anda mungkin pernah mendengar tentang pasaran “bull” dan “bear”. Tetapi, adakah anda tahu mengapa dua haiwan ini dijadikan simbol bagi pasaran saham?

Pasaran "bull" dan pelabur "bullish" menerangkan tentang satu tempoh dalam pasaran saham apabila harga saham melonjak naik secara berterusan. Dinamakan demikian kerana lembu jantan akan menggoyangkan tanduknya ke atas apabila hendak menerkam mangsa.

Lembu jantan juga melambangkan keberanian. Jadi, pelabur “bullish” percaya dan mempunyai keyakinan bahawa pasaran saham akan melonjak naik, dan oleh itu, mereka melaburkan wang ke dalamnya.

Pada dasarnya, pasaran bull merupakan gambaran langsung mengenai keyakinan pelabur terhadap pasaran saham. Jika pelabur “bullish” dengan pasaran saham, akan terdapat permintaan bagi saham yang tersenarai dan ini akan membawa kepada harga saham yang lebih tinggi.

Kadangkala, pelabur terus “bullish” bagi satu tempoh tertentu dan ini mungkin berlarutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Pasaran bull yang bertahan begini biasanya dipanggil “bull run”. Di Malaysia, pada awal 1990an, pasaran saham memaparkan prestasi luar biasa yang bertahan selama satu tempoh. Tempoh itu dikenali sebagai “super bull-run” . Ada pelabur yang masih mengharapkan tempoh tersebut berlaku semula.

Melabur dalam pasaran bull
Dalam pasaran "bull", pelabur didorong oleh peluang untuk memperoleh keuntungan modal dengan cepat apabila harga saham naik. Biasanya, pelabur akan membeli sesuatu saham, memantau pergerakan harganya dan kemudian menjualnya sebaik sahaja mencapai harga yang dikehendaki. Disebabkan keadaan turun naik yang berlaku kepada pergerakan harga saham, tempoh belian dan jualan mesti dilakukan dalam tempoh beberapa minit di antara pergerakan harga tersebut. Bagaimanapun, bunyinya sahaja mudah, hakikatnya tidak semudah itu. Tiada siapa benar-benar tahu atau boleh meramalkan dengan tepat bila pasaran akan mula naik atau mencapai kemuncaknya. Pelabur yang mahu menggunakan strategi pelaburan ini mestilah sentiasa berjaga-jaga. Mereka juga mestilah bersedia menghadapi risiko pergerakan pasaran tidak menyebelahi mereka – harga saham mungkin jatuh dengan cepat, sebagaimana cepatnya ia naik atau mungkin lebih cepat daripada itu.
.
Pasaran "bear" dan pelaburan "bearish"
Jika ada lembu jantan, beruang pun ada juga. Pasaran "bear" adalah berlawanan dengan pasaran "bull". Secara umumnya, pasaran bear menggambarkan tentang satu jangka masa berlanjutan yang pada ketika itu pergerakan harga saham semakin menurun.

Biasanya, suasana ini menggambarkan sikap pesimis para pelabur secara menyeluruh dalam pasaran saham. Satu contoh “pasaran bear” ialah pada ketika krisis kewangan Asia apabila harga saham menjunam turun dengan banyaknya dan kekal rendah untuk satu jangka masa yang agak lama.

Pasaran “bear” mendapat namanya kerana beruang gemar memukul sesuatu secara melibas ke bawah.

Beruang juga merupakan haiwan yang terlalu berhati-hati dan jarang bergerak pantas kecuali ketika mengejar sesuatu. Oleh itu, pelabur “bearis” tidak akan dengan mudah melaburkan wang di pasaran. Mereka akan menunggu sehingga trend menurun terhadap harga saham reda sebelum mula melabur semula.

Melabur di pasaran bear
Bagi pelabur yang mahukan keuntungan modal, pasaran "bear" boleh mengganggu strategi pelaburan mereka. Dalam pasaran bear, ada kemungkinan besar harga saham menjunam dengan banyaknya, walaupun dalam masa sehari, dan ini boleh mengakibatkan kerugian besar kepada pelabur. Walau bagaimanapun, ada pelabur yang melihat pasaran bear sebagai satu peluang untuk membeli saham “cip biru” pada harga murah. Biasanya, mereka ini adalah pelabur jangka panjang dan akan membeli saham syarikat yang boleh memberikan dividen yang baik dan konsisten. Pada masa yang sama, mereka melabur dalam pasaran bear untuk mengambil kesempatan ke atas Pemurataan Kos Ringgit.
.
Oleh sebab tidak ada cara yang pasti untuk meramalkan pasaran "bull" atau "bear", lebih selamat sekiranya pelabur pasaran saham sentiasa mempunyai strategi pelaburan untuk disesuaikan dengan kedua-dua keadaan pasaran. Pelabur yang berhati-hati dan berpengetahuan pasti dapat merebut peluang yang ada daripada pasaran "bull" dan "bear".

Versi video: http://lottinggi.blogspot.com/2012/01/what-are-stock-market-bulls-vs-bears.html 

Clement Jouling ialah Perunding Unit Amanah berlesen (Licensed Unit Trust Consultant). Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan unit amanah, boleh hubungi beliau terutamanya buat anda yang berada di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment