Apa Itu UNIT AMANAH?

Lihat video ini dulu untuk memudahkan pembacaan...
Versi video:



APAKAH TABUNG UNIT AMANAH 
Unit Amanah merupakan suatu alat pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Dana tersebut akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Dana Unit Amanah.
  • Pengurus tabung  perlu mematuhi keperluan Surat Ikatan, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang diperbaharui dari semasa ke semasa, Garis Panduan Tabung Unit Amanah dan undang-undang serta peraturan lain yang berkenaan. Juru audit bebas dilantik untuk menyediakan laporan akaun unit amanah setiap tahun.

BAGAIMANA UNIT AMANAH BERFUNGSI 

Unit amanah membabitkan penglibatan tiga pihak iaitu Pemegang Unit / Pelabur yang melabur dalam sesuatu dana amanah, Pemegang Amanah yang bertindak sebagai badan bebas dan penjaga aset yang dilabur dan Syarikat Pengurusan yang menyediakan kepakaran teknikal untuk menguruskan dana berkenaan.
Operasi sesuatu skim unit amanah itu ditadbirkan oleh satu dokumen perundangan yang dipanggil Suratikatan. Ia menyatakan tentang hak dan tanggungjawab Pengurus dan Pemegang Amanah serta hak Pemegang Unit. Ia juga menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah itu harus beroperasi dan diuruskan serta bagaimana menentukan kadar bayaran yuran.
Dengan pertalian sedemikian kita dapat simpulkan yang unit amanah direka bentuk bagi melindungi kepentingan para pelaburnya tidak seperti pelaburan saham biasa ataupun komoditi.

FAEDAH MELABUR DALAM UNIT AMANAH 

Kepelbagaian

Mempelbagaikan pelaburan dalam pelbagai kelas aset dan sektor-sektor yang berbeza akan mengurangkan risiko pelaburan. Tetapi untuk mempelbagaikan pelaburan, ia memerlukan jumlah wang yang besar dan banyak. Pelaburan melalui tabung unit amanah membantu mengurangkan risiko pelaburan individu kerana ia memberi peluang kepada pelabur-pelabur yang ingin melabur dengan modal yang kecil. Pelaburan ini dikumpulkan dan kemudiannya dilaburkan oleh pengurus dana dalam saham atau sekuriti yang dibenarkan bagi pihak pelabur. Dengan kepelbagaian pelaburan, risiko pelaburan dapat disebarkan.

Pengurus yang profesional

Berpeluang mendapat khidmat pengurus profesional yang selalunya tidak dapat dinikmati oleh pelabur individu yang melabur dengan modal yang kecil atau sekiranya pelabur melabur dalam  simpanan deposit tetap atau dalam  pasaran saham secara langsung.

Pentadbiran yang mudah

Pentadbiran jual, beli dan pegangan pelaburan dalam unit amanah adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan pegangan portfolio pelaburan dalam pasaran modal yang dibuat secara langsung oleh pelabur.

Kecairan

Pelabur boleh menjual balik sebahagian atau semua unit amanah mereka pada bila-bila masa dalam waktu perniagaan.

Berkemampuan untuk melabur

Pelabur hanya memerlukan modal yang kecil untuk menyertai portfolio pelaburan yang diuruskan oleh pengurus profesional dan menikmati faedah yang sama dengan mereka yang melabur dalam sekuriti berharga tinggi.  Pada masa yang sama, pelabur unit amanah dapat menikmati pulangan daripada portfolio pelaburan berbanding dengan jumlah sekuriti yang sedikit sekiranya mereka melabur terus dalam pasaran saham.


SIAPA YANG SELALU MELABUR DALAM UNIT AMANAH 

Unit amanah adalah satu mekanisma tidak langsung untuk menyertai dalam instrumen pasaran modal Umumnya ia adalah pelaburan berisiko rendah. Oleh itu ia amat bersesuaian bagi pelabur yang ingin membuat pelaburan dalam jangkamasa yang panjang tetapi kesuntukan masa dan kemahiran untuk mengawasi sendiri prestasi pelbagai instrumen pasaran modal.

YURAN DAN CAJ

Dalam pelaburan unit amanah terdapat yuran dan caj yang dikenakan kepada pelabur sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Caj secara langsung yang perlu dibayar adalah caj jualan/ perkhidmatan permulaan semasa urus niaga belian dan jualan unit dilakukan, yuran jualan balik dan caj perkhidmatan bagi pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP.

Dalam menguruskan tabung unit amanah, terdapat beberapa yuran yang dikenakan seperti yuran pengurusan, yuran pemegang amanah, ganjaran juru audit, dan lain-lain yuran profesional, kos/caj dan perbelanjaan percetakan laporan tahunan dan baucer pengagihan pendapatan serta lain-lain perbelanjaan yang diperlukan dalam menguruskan unit amanah.

Anda dinasihatkan agar mempertimbangkan semua yuran dan caj yang dikenakan sebelum membuat pelaburan.

RANGKA KERJA BADAN KAWAL SELIA UNIT AMANAH DI MALAYSIA 

Penubuhan dan operasi tabung unit amanah adalah tertakluk di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan garis panduan yang dipantau dari semasa ke semasa dan diuruskan oleh Suruhanjaya Sekuriti, sebuah badan kawal selia untuk tabung unit amanah di Malaysia. Mengikut undang-undang, surat ikatan perlu didaftarkan pada Suruhanjaya Sekuriti dan perlantikan pengurus, pemegang amanah, pengurus pelaburan, lembaga pengarah, pegawai ketua eksekutif, ahli jawatankuasa pelaburan dan ahli jawatankuasa syariah perlu diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

PERBANDINGAN UNIT AMANAH DAN INSTRUMEN PELABURAN LAIN

Semua instrumen pelaburan mempunyai tahap risiko dan pulangan berbeza. Secara amnya, perbandingan risiko dan pulangan bagi pelbagai pelaburan boleh diringkaskan seperti berikut:-

Jenis Pelaburan
Tahap Risiko
Tahap Jangkaan Pulangan
1
Produk Derivatif Kewangan
Tinggi
Tinggi
2
Pelaburan dalam saham
3
Hartanah
4
Unit amanah
5
Deposit tetap
6
Tunai
Rendah
Rendah

No comments:

Post a Comment