– Benjamin Graham, pengarang “The Intelligent Investor”
Melabur akan menjadi begitu mudah kalaulah kita boleh meramalkan bilakah masa terbaik untuk membeli atau menjual. Walau bagaimanapun, meramalkan masa yang sesuai untuk melabur dalam pasaran adalah mustahil dan ramai yang telah mengalami kerugian besar kerana mencubanya dan gagal. Salah satu cara untuk mengharungi naik turun pasaran saham yang sentiasa berlaku ini ialah dengan menggunakan kaedah pemurataan kos ringgit. Kaedah ini memastikan kita mendapat faedah daripada pulangan sejarah yang mantap yang ditunjukkan dalam jangka panjang dan melindung nilai kesan kemerosotan dan sedikit aliran menurun dalam jangka pendek.
Pemurataan kos Ringgit merupakan satu teknik pelaburan yang bertujuan untuk mengurangkan pendedahan kepada risiko yang berkaitan dengan membuat satu pembelian tunggal yang besar dengan melaburkan jumlah tetap dalam pelaburan tertentu (misalnya, unit amanah) pada selang masa yang tetap (sama ada bulanan atau suku tahunan), tanpa menghiraukan harga unitnya. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk memindahkan RM500 hingga RM1,000 daripada gaji anda kepada dana unit amanah ataupun anda boleh membuat pelaburan sebanyak RM1,500 atau RM3,000 setiap suku tahun. Jumlah dan kekerapan pelaburan anda bergantung pada sumber kewangan dan matlamat masa depan anda.
Bagaimana Pemurataan Kos Dolar Berfungsi
“Simpan sedikit simpan selalu – pemurataan kos dolar (ringgit) berkesan jika anda terus menggunakannya.”
– Paul Clitheroe, “Ten Key Steps to Wealth”, 2002.
Untuk menjelaskan pemurataan kos dolar secara mudah, katakan anda mahu menyimpan RM12,000 setiap tahun untuk tabung persaraan anda. Daripada melaburkan jumlah ini sekali gus dan menanggung risiko memasuki pasaran ketika harganya melambung, anda mengambil keputusan untuk melaburkan sebanyak RM1,000 dalam dana unit amanah setiap bulan seperti yang ditunjukkan dalam carta berikut:
Bulan
|
Jumlah Pelaburan (RM)
|
Harga Seunit (RM)
|
Bilangan Unit Dibeli
|
Januari
|
1,000
|
0.2549
|
3,923.11
|
Februari
|
1,000
|
0.2261
|
4,422.82
|
Mac
|
1,000
|
0.2068
|
4,835.59
|
April
|
1,000
|
0.1846
|
5,417.12
|
Mei
|
1,000
|
0.1645
|
6,079.03
|
Jun
|
1,000
|
0.1589
|
6,293.27
|
Julai
|
1,000
|
0.1477
|
6,770.48
|
Ogos
|
1,000
|
0.1617
|
6,184.29
|
September
|
1,000
|
0.1947
|
5,136.11
|
Oktober
|
1,000
|
0.2035
|
4,914.00
|
November
|
1,000
|
0.2248
|
4,448.40
|
Disember
|
1,000
|
0.2510
|
3,984.06
|
Jumlah
|
RM12,000
|
62,408.28
|
Keputusan
Kos Purata Seunit RM0.1923
Harga Unit pada Disember RM0.2510
Nilai Pelaburan pada Disember *RM15,664.48
*62,408.28 unit x RM0.2510
*62,408.28 unit x RM0.2510
Dalam contoh ini, dengan menggunakan kaedah pemurataan kos ringgit, kos purata seunit yang dilaburkan hanyalah RM0.1923, dan bukannya RM0.2549 jika pelabur melaburkan jumlah sekali gus pada bulan Januari.
Strategi Pelaburan Jangka Panjang
“Disiplin adalah kunci kejayaan untuk pelabur jangka panjang. Dia tidak boleh jatuh ke dalam perangkap menguruskan pemegangannya berpandukan tajuk berita akhbar, petikan, ramalan tanpa menggunakan fikiran, gerak hati atau keputusan tempoh yang lepas.”
– Frank Armstrong, pengarang “The Informed Investor.”
Walau berapa pun jumlah wang yang dilaburkan, pemurataan kos dolar adalah strategi jangka panjang. Meskipun pasaran kewangan cenderung untuk turun naik, namun ia selalunya bergerak dalam arah yang sama dalam tempoh masa yang agak panjang. Pasaran turun dan pasaran naik boleh berlanjutan selama berbulan-bulan, bahkan adakalanya bertahun-tahun. Disebabkan arah aliran ini, pemurataan kos dolar tidak akan cukup berkesan jika digunakan untuk jangka pendek sahaja.
Sebagai contohnya, pelabur mungkin memilih untuk membuat 10 pembelian dana unit amanah dalam sebulan. Walaupun kemungkinan besar harga belian unit tidak akan sama bagi setiap urus niaga dalam tempoh masa yang pendek itu, namun perbezaannya tidaklah besar.
Namun begitu, dalam tempoh kitaran pasaran yang lebih panjang, anda mungkin akan menempuh pasaran naik dan pasaran turun, dengan harga sekuriti tertentu mengalami perubahan yang besar. Pemurataan kos dolar akan menolong memastikan kos purata seunit anda mewakili kedua-dua premium pasaran naik dan diskaun pasaran turun, berbanding dengan hanya premium yang biasanya dibayar oleh pelabur dalam pasaran naik.
Petua untuk Anda Bermula
“Mereka yang menyertai program pelaburan akan mempunyai lebih banyak wang apabila mereka bersara daripada mereka yang tidak menyertainya langsung.”
- Penulis kewangan Australia, Noel Whittaker.
Banyak dana unit amanah membenarkan anda mula melabur dalam jumlah minimum dengan pilihan untuk membuat caruman lagi melalui potongan tetap daripada gaji atau akaun bank anda.
Jika anda berminat dengan pemurataan kos dolar, berikut ialah beberapa petua untuk menolong anda menjadikan strategi ini bermanfaat kepada anda:
Bermula secepat mungkin. Semakin lama anda perlu mengharungi turun naik pasaran, semakin banyak peluang yang anda ada untuk membina akaun yang besar.
Terus menggunakannya. Pemurataan kos dolar adalah strategi jangka panjang. Pastikan anda mempunyai sumber kewangan dan disiplin untuk melabur secara berterusan dalam segala jenis pasaran, tanpa menghiraukan turun naik harga.
Ambil kesempatan ke atas potongan automatik. Caruman pelaburan secara potongan gaji atau potongan akaun bank anda merupakan kaedah yang mudah dan senang untuk melabur, dan boleh menolong anda menanamkan tabiat melabur secara tetap.
Bersedia menghadapi kerugian. Pemurataan kos ringgit tidak menjamin bahawa portfolio anda sentiasa untung sahaja dan tiada kerugian. Walaupun anda membayar kos purata yang lebih rendah daripada harga purata unit, anda masih boleh mengalami kerugian jika anda memilih masa yang tidak sesuai untuk keluar dari pasaran, terutamanya ketika harga rendah.
Membina kekayaan dengan melabur dalam unit amanah adalah lebih kepada soal kesabaran dan kegigihan daripada soal kemahiran pelaburan dan nasib. Keputusan besar yang mesti dibuat ialah sama ada anda sanggup melepaskan kepuasan serta-merta untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang anda. Jika anda sanggup, maka pemurataan kos dolar boleh menjadi cara yang sangat berkesan untuk menolong anda mencapai matlamat anda itu.
Clement Jouling ialah
Perunding Unit Amanah berlesen (Licensed Unit Trust Consultant).
Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan unit amanah, boleh hubungi beliau terutamanya buat anda yang berada di Kota Kinabalu dan sekitarnya.