Friday, 9 December 2011

Inflasi: Ancaman Yang Senyap

Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratusan dalam kos bagi sekumpulan pengguna khusus (60% bandar, 40% luar bandar) untuk membeli satu “bakul” yang mengandungi barangan dan perkhidmatan yang tetap dalam tempoh masa tertentu. Barang-barang yang terdapat di dalam “bakul” tersebut boleh dikumpulkan kepada berikut:
  • Makanan dan minuman tidak beralkohol
  • Minuman beralkohol dan tembakau
  • Pakaian dan kasut
  • Perumahan, bekalan air, bekalan elektrik, gas dan bahan api lain
  • Perabot, peralatan isirumah, rutin penyelenggaraan isirumah
  • Kesihatan
  • Pengangkutan
  • Komunikasi
  • Perkhidmatan-perkhidmatan rekreasi dan budaya
  • Pendidikan
  • Restoran-restoran dan hotel-hotel
  • Pelbagai barangan dan perkhidmatan lain
Bagaimanapun, anda harus mengetahui bahawa IHP adalah purata statistik dan mungkin tidak menggambarkan kadar inflasi anda, terutamanya apabila corak perbelanjaan anda banyak berbeza daripada pengguna-pengguna bandar biasa. Pada kebanyakan masa, kadar inflasi pada peringkat peribadi atau pengguna untuk penduduk-penduduk bandar adalah dua kali atau lebih tinggi daripada kadar inflasi peringkat kebangsaan.

Apakah Sebab-sebab Berlakunya Inflasi?
Dua sebab umum berlakunya inflasi adalah:

1. Permintaan tinggi, bekalan rendah – Jikalau permintaan meningkat lebih cepat daripada bekalan produk dan perkhidmatan, harga barangan terpaksa naik. Juga dikenali sebagai inflasi tarikan-permintaan, ia biasanya berlaku di ekonomi bertumbuh di mana terdapat “terlalu banyak wang mengejar terlalu sikit barangan.”
2. Peningkatan dalam kos pengeluaran – Apabila harga bahan mentah naik, kos pengeluaran akan meningkat. Ini akan mengakibatkan syarikat-syarikat menaikkan harga untuk mengekalkan margin keuntungan. Ini juga berlaku apabila pekerja-pekerja minta gaji yang lebih tinggi kerana syarikat-syarikat biasanya memindah kos-kos ini kepada pengguna-pengguna.

Apakah Kesan-kesan Inflasi?
Inflasi boleh dianggap sebagai perkembangan ekonomi yang biasa selagi peratusan tahunan masih rendah. Namun begitu, inflasi boleh menyebabkan krisis apabila peratusan itu meningkat lebih tinggi daripada peringkat yang telah ditetapkan. Cara yang paling nyata ia menjejaskan kewangan peribadi anda adalah dengan mengurangkan kuasa membeli anda. Anda akan mendapati harga produk dan perkhidmatan setiap hari meningkat dan kos pinjaman menjadi lebih tinggi kerana kadar faedah turut menaik.
Contoh:
  • Pada tahun 1978 (30 tahun lalu), RM300 boleh membeli barangan runcit satu bulan untuk keluarga berempat orang.
  • Pada tahun 2008, RM300 boleh membeli barangan runcit satu minggu untuk keluarga berempat orang.
  • Pada tahun 2028 (20 tahun kemudian), RM300 mungkin hanya boleh membeli barangan runcit dua hari untuk keluarga berempat orang.
Dengan memahami perbezaan di antara pulangan nominal dan pulangan benar, anda akan dapat melihat kesan inflasi pada wang anda. Pulangan nominal merujuk kepada kadar pertumbuhan wang anda manakala pulangan benar ialah pertumbuhan kuasa membeli anda, iaitu pulangan nominal menolak kadar inflasi. Oleh demikian, wang yang disimpan di dalam simpanan tetap akan mengurang nilainya disebabkan kesan penghakisan inflasi.
Contoh:
Kadar simpanan tetap 12 bulan = 4%
Kadar inflasi (peringkat peribadi) = 6%
Pulangan benar daripada pelaburan = 4%-6% = -2%

Bagaimanakah Kita Boleh Mengatasi Inflasi?
Setelah mengetahui bagaimana inflasi boleh mengurangkan kuasa membeli anda dengan drastik, pelabur-pelabur harus mempertimbangkan cara-cara melindungi pelaburan mereka daripada kesan-kesan penghakisan inflasi. Berikut adalah beberapa cara bagaimana anda boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi:

1. Mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan-pelaburan anda. 
Untuk melindungi simpanan anda daripada kesan inflasi bagi jangka masa panjang, pilihan terbaik adalah dengan mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi. Ekuiti-ekuiti dan dana-dana ekuti serta saham-saham yang memberi dividen tinggi harus dipertimbangkan kerana mereka boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi.

2. Mengekalkan kepelbagaian dalam pelaburan-pelaburan anda. 
Sebuah portfolio seimbang yang mengandungi saham-saham, bon-bon dan sekuriti-sekuriti pasaran wang dapat mengurangkan risiko dan memberi perlindungan terhadap inflasi. Ini disebabkan nilai sejenis pelaburan mungkin akan menaik sementara pelaburan-pelaburan lain menurun. Namun begitu, kepelbagaian tidak dapat melindungi anda daripada kerugian dalam pasaran menurun.

3. Mengurangkan pemegangan wang tunai yang banyak. 
Walaupun anda mendapat kecairan dengan memegang wang di tangan atau menyimpannya di dalam simpanan tetap, wang tersebut mungkin akan mengurangkan nilainya melalui inflasi. Sebaliknya, pelabur-pelabur berisiko rendah boleh membuat pertimbangan untuk memindahkan wang mereka ke sebuah portfolio seimbang (terdiri daripada 60 peratus ekuiti dan 40 peratus bon) untuk mendapat pulangan diselaraskan inflasi yang baik bagi tempoh sederhana hingga panjang.

4. Melabur di dalam sektor-sektor yang berdaya tahan. 
Semasa keadaan pasaran yang tidak menentu, pelabur-pelabur boleh melabur dalam sektor-sektor berdaya tahan dan saham-saham mewah sebagai perlindungan terhadap inflasi. Sektor-sektor ini termasuk telekomunikasi, utiliti dan pengangkutan. Emas juga diibaratkan sebagai tempat perlindungan selamat dalam ketidakstabilan kewangan atau semasa inflasi menaik.

5. Menguruskan hutang anda. 
Mengurangkan hutang anda ke tahap minima amat bermakna kerana kadar faedah menaik seiring dengan inflasi. Anda sepatutnya membayar habis pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi dengan secepat mungkin, terutamanya apabila kadar faedah sedang meningkat. :)
 
“Inflasi adalah percukaian tanpa perundangan” 
 
Copied from: bigfishteam.wordpress.com/page/2/

No comments:

Post a Comment