Tuesday 12 June 2012

Saham IPO bukan jaminan kaya

 
Oleh: Kunta Kunte Original

HARI ini, orang kerap cakap pasal ekonomi. Salah satu hal yang selalu dibincangkan adalah macam mana nak buat duit cepat dan banyak. Kerana tamak dan jahil selok-belok pelaburan, banyak yang kena tipu – modal habis untung tak dapat.

Ada yang kena tipu skim cepat kaya ala-Pak Man Telo, ada yang beli saham syarikat kilat dan ada yang melabur dalam skim saham amanah dengan tak baca prospektus. Yang terbaru pula, dah ada yang jadi lembu dan keldai kepada peniaga wang gelap.

Nak mudah cakap, bagi orang Melayu dan Bumiputera yang tak banyak modal dan tak berapa cekap dalam hal pelaburan, Kunta Kinte rasa pelaburan paling selamat dan untung adalah Amanah Saham Bumiputera dan saham amanah lain yang ditaja oleh Permodalan Nasional Berhad. Sekarang ada beratus-ratus jenis saham amanah yang sah ditaja oleh bank dan institusi kewangan. Ada yang baik dan selamat dan ada yang berancaman tinggi.

Satu lagi peluang pelaburan yang jadi kegilaan banyak pelabur ialah Initial Public Offering (IPO) atau Tawaran Permulaan Awam iaitu apabila sebuah syarikat jual sebahagian sahamnya kepada umum. Itulah yang kita dengar sedang dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB).

Ada beberapa sebab syarikat atau  lebih tepat, pemilik syarikat buat IPO. Antaranya ialah pertama, bagi dapatkan balik sebahagian modal yang sudah mereka laburkan. Kedua, bagi dapatkan keuntungan modal dan ketiga, bagi wujudkan penarafan terhadap saham syarikat mereka.

Mana-mana syarikat yang mahu sahamnya disenaraikan di Bursa Malaysia, iaitu pasaran saham utama di negara kita  atau di mana-mana pasaran saham pun, ia wajiblah buat IPO. Ia kena jual kepada umum kurang-kurang pun 25 peratus daripada sahamnya. Misalnya kalau modalnya dipecahkan kepada 1,000 unit saham, dalam IPO ia kena jual 250 unit kepada umum. Tapi sebelum saham IPO boleh dijual, penjual kena bagi butir lengkap urusan itu dengan mengeluarkan prospektus. Itulah yang FGVHB buat semalam, 31 Mei di Kuala Lumpur.

Dalam dokumen itu, penjaja atau vendor kena sebutkan dengan setepat, sejelas dan seikhlas mungkin mengenai perniagaan syarikat, nilai harta, untung rugi tiga hingga lima tahun terakhir, ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan harapan masa depan perniagaan.

Dalam prospektus juga penjaja kena sebut berapa harga asas seunit saham, misalnya RM1.50 sen atau 10 sen, berapa banyak saham yang hendak dijual dan berapa harga seunit. Misalnya, bagi syarikat yang harga asas RM1, ia mungkin tawarkan saham IPO dengan harga RM1.20. Ini bergantung kepada penilaian yang disahkan oleh juruaudit luar dan dipersetujui oleh Bursa Malaysia. Vendor juga kena buat jangkaan keuntungan masa depan. Malah, dalam hal tertentu ada penjaja yang bagi jaminan keuntungan. Tapi, ada juga yang bukan saja gagal tunai janji sebaliknya rugi teruk dan muflis. Inilah ancaman atau risiko yang pembeli saham IPO kena faham dan tanggung pasal tidak ada sebarang pelaburan yang bebas daripada kemungkinan rugi.

Bila kita melabur, kita tentu  harapkan keuntungan. Keuntungan datang dalam bentuk dividen, bonus dan harga saham. Dividen dan bonus hanya dibayar kalau syarikat untung dan kadarnya tidaklah tinggi. Satu kajian oleh laman web Information Technology Law berjudul Dividend Policy: Malaysian Public Listed Companies 2006 to 2009 dapati kadar purata dividen syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah 3.31 peratus saja. Ini pelabur kena selidik dan faham.

Jadi, baru-baru ini, bila banyak orang sibuk pasal IPO syarikat Amerika Facebook, Kunta Kinte berhati-hati. Kunta Kinte ramalkan harga penyenaraiannya akan jatuh kerana ramai yang melabur dalam saham teknologi adalah orang muda yang kurang pengalaman. Bukanlah Kunta Kinte pandai sangat, tapi ramalan Kunta Kinte itu betul. Harga saham Facebook jatuh hingga 12 peratus pada awal perniagaan 25 Mei lalu dan tutup 0.6 peratus di atas harga IPO. Pada hari kedua, hampir  30 peratus nilai saham Facebook hapus di pasaran.

Sebenarnya, taklah ramai sangat pelabur beli saham untuk dapat dividen dan bonus. Lebih ramai yang beli saham dengan tujuan buat keuntungan modal atau ‘capital gain’ dengan beli pada harga murah dan jual bila harga naik.

Satu perkara lagi yang kita kena ingat iaitu bukan mudah nak dapat saham IPO sebab selalunya jumlah yang diminta lebih banyak daripada yang ditawarkan. Hanya yang dapat ‘pink form’  yang sah dapat. Yang lain kena undi. Lagipun, tak ramai orang Melayu dan Bumiputera yang mampu sediakan deraf bank beribu ringgit yang wajib mereka hantar bila mohon saham IPO.

Jadi, Kunta Kinte nasihatkan kepada yang baru nak mula melabur dalam saham IPO, mereka kenalah belajar dan faham selok-belok pasaran saham. Kena bersedia tanggung risiko. Kalau tidak, eloklah melabur dalam instrumen pelaburan  lebih selamat macam saham amanah atau simpanan tetap. 

Bukan apa, Kunta Kinte takut yang dihambat tak dapat, yang dikendong berciciran. Mohon saham IPO bukan macam peneroka FELDA dapat RM15,000 sekeluarga. 

Clement Jouling ialah Perunding Unit Amanah berlesen (Licensed Unit Trust Consultant). Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang instrumen pelaburan, pelaburan unit amanah dan perancangan kewangan, boleh hubungi beliau terutamanya buat anda yang berada di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment